Fungsi dalam Ayat Frasa nama

FN mempunyai pelbagai fungsi dalam binaan ayat. Tiga fungsi utamanya adalah sebagai subjek, predikat dan objek kata kerja transitif. Fungsinya yang lain adalah sebagai pelengkap kata kerja tak transitif dan unsur keterangan.

Sebagai Subjek

(8) Siti pergi ke sekolah.

“Siti” dalam (8) ialah FN yang berfungsi sebagai subjek ayat. (9a-e) ialah contoh lain FN (berhuruf tebal) yang berfungsi sebagai subjek ayat.

(9) contoh:

a. Abangnya juruterbang.b. Osman penyanyi terkenal.c. Pukulannya sungguh kuat.d. Kami pelajar tingkatan enam.e. Ini kawasan bangunan Parlimen.

Nota: Subjek ayat mesti terdiri daripada FN.

Sebagai Predikat

(10) Siti pelajar USM.

“Pelajar USM” dalam (10) ialah FN yang berfungsi sebagai predikat ayat. (11a-c) ialah contoh lain FN (berhuruf tebal) yang berfungsi sebagai predikat ayat.

(11) contoh:

a. Beliau Pengarah Pendidikan Negeri.b. Ahmad guru.c. Budak itu murid saya.

Sebagai Objek Kata Kerja Transitif

(12) Siti memandu kereta.

“Kereta” dalam (12) ialah objek kata kerja transitif “memandu”.

Nota: Objek kata kerja tak transitif mesti terdiri daripada FN atau klausa. (13) ialah contoh objek kata kerja transitif (berhuruf tebal) yang terdiri daripada klausa.

(13) Dia menegaskan bahawa masalah ini mesti diselesaikan dengan segera.

Sebagai Pelengkap Kata Kerja Tak Transitif

(14) Siti menjadi pensyarah USM sejak 10 tahun lalu.

“Pensyarah USM” dalam (14) ialah pelengkap kata kerja tak transitif “menjadi”. (15) ialah contoh lain FN (berhuruf tebal) yang berfungsi sebagai pelengkap kata kerja tak transitif.

(15) Hang tuah bersenjatakan keris Taming Sari.

Nota: Hanya sebilangan kecil pelengkap kata kerja tak transitif yang terdiri daripada FN.Pelengkap berbeza daripada objek kata kerja transitif kerana ia tidak boleh melaluiproses pemasifan.

Sebagai Unsur Keterangan

(16) Mereka bermain bola di padang.

“Bola” dalam (12) ialah keterangan bagi kata kerja “bermain”. Sebagai unsur keterangan, Kehadiran FN adalah tidak wajib. Dengan kata lain, tanpa kehadiran “bola”, ayat (16) tetap gramatis.

(16’) Mereka bermain di padang.

(17a-c) ialah contoh lain FN (berhuruf tebal) yang berfungsi sebagai keterangan ayat.

(17) contoh:

a. Kanak-kanak itu berbaju Melayu.b. Kegemarannya bermain bola.c. Mereka belajar bahasa Jepun.